Oct 16, 20211 min

DAP bersama KEADILAN pertahan semua kerusi PH di Pulau Pinang

DAP tampil menyokong KEADILAN dalam usaha untuk mempertahankan Permatang Pauh dan semua kerusi Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang.

Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong berkata, sokongan itu dibuat kepada KEADILAN setelah mengetahui mengenai rancangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk bertanding di kerusi Permatang Pauh.

"DAP Pulau Pinang akan bersama dengan KEADILAN untuk mempertahankan kerusi Permatang Pauh dan semua kerusi PH di negeri Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-15 nanti.

"Sebagai Pengerusi DAP Bukit Mertajam yang merupakan "jiran" kawasan Parlimen Permatang Pauh, saya akan memberikan sokongan penuh kepada KEADILAN untuk mempertahankan kerusi tersebut yang merupakan simbol perjuangan reformasi rakyat Malaysia," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam memberi jaminan bahawa DAP akan terus bekerja keras untuk mempertahankan serta memenuhi mandat rakyat Pulau Pinang yang inginkan sebuah negeri yang maju, berkebajikan dan hijau melalui visi Penang 2030.

"Kami menolak parti-parti yang mengkhianati mandat rakyat dalam Langkah Sheraton, sekaligus menyebabkan negara terjunam ke dalam ketidakstabilan politik berterusan serta gagal menguruskan pandemik Covid-19 dengan baik," katanya.

    0