Dec 19, 20231 min

Cukai LVG atasi 'loophole' cukai terhadap produk import

Oleh: Azuan Abd Rahman

Pelaksanaan cukai jualan ke atas barangan bernilai rendah (LVG) yang bakal di kuatkuasa Januari 2024 bertujuan untuk memberi kesaksamaan persaingan kepada perniagaan tempatan.

Kementerian Kewangan (MoF) melalui satu kenyataan berkata, cukai jualan LVG diimport asalnya dijadual untuk dilaksanakan pada 1 April tahun ini, namun ditangguh bagi membolehkan Kerajaan mengadakan sesi libat urus bersama-sama pemain industri untuk memperhalusi isu-isu pelaksanaan bagi memastikan pelaksanaan cukai ini dapat mencapai objektif.

Tambah kenyataan itu, secara umum, Cukai Jualan dikenakan ke atas barang-barang yang dijual di Malaysia dan Cukai Jualan dibayar oleh pengimport, pemborong atau peruncit sebelum dijual kepada pengguna akhir di Malaysia.

Namun terdapat 'loophole' dalam sistem Cukai Jualan sedia ada yang menyebabkan amalan pengelakan cukai itu berlaku dalam kalangan penjual dan kerajaan mahu menangani perkara tersebut.

"Kepesatan transaksi jualan dalam talian yang menjadi pilihan pengguna pada masa ini, telah mewujudkan layanan cukai yang tidak sama rata antara perniagaan dalam talian yang mengimport barang dari luar negara dan perniagaan yang beroperasi secara fizikal (brick and mortar) di Malaysia," kata MoF.

MoF dalam kenyataan sama turut menegaskan, cukai jualan pada kadar 10% dikenakan ke atas LVG bernilai RM500 ke bawah yang diimport ke Malaysia melalui jalan darat, laut atau udara.

Namun cukai LVG tidak dikenakan ke atas rokok, produk tembakau, minuman keras dan rokok paip kerana kesemua barang ini telah dikenakan duti import, duti eksais dan Cukai Jualan.

    1