Apr 171 min

Cuaca panas: Lapor jika sekolah langgar SOP - Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menasihatkan ibu bapa membuat aduan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekiranya terdapat sekolah tidak mematuhi garis panduan berkaitan cuaca panas ditetapkan.

Ditemui pemberita selepas hadir pada program Kem Generasi Madani (GenMADANI) Pemimpin Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Peringkat Kebangsaan 2024 di Seremban beliau menjelaskan, aduan itu perlulah dibuat secara rasmi supaya siasatan dan tindakan lanjut boleh dilakukan.

"Saya tegaskan bahawa garis panduan itu harus diikuti dan pada masa sama kita juga rujuk dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa untuk mendapatkan pedoman berkaitan isu cuaca ini.

"Sekiranya ada aduan, saya mohon untuk dipanjangkan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam untuk kami(KPM) santuni dan ambil tindakan sekiranya ia berasas," katanya dipetik.

KPM sebelum ini menetapkan sebarang aktiviti luar bilik darjah tidak boleh dijalankan, sekiranya suhu mencapai 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Mengulas mengenai GenMADANI Fadhlina berkata, setakat ini penganjuran program itu mendapat respon baik daripada pelajar yang terdiri daripada barisan kepimpinan di semua peringkat.

"Dalam generasi Madani ini ada beberapa pengisian penting selain daripada memberi tumpuan kepada aspek kepimpinan, mereka juga akan dilatih dalam aspek patriotism dan juga demokrasi.

"Ada satu slot yang sangat penting juga adalah bagaimana mereka turun bersama dengan rakyat dan melakukan projek komuniti bagi membiasakan mereka sebagai pimpinan akan datang," katanya lagi.

    2