May 19, 20221 min

Calon Ketua Cabang Tambun nafi dakwaan berkaitan seleweng dana

Kehangatan berkempen dalam pemilihan KEADILAN 2022 seharusnya tidak melampau sehingga mentohmah calon calon yang bertanding.

Menurut calon Ketua Cabang KEADILAN Tambun, Mustapa Mansur Amer Mohd Isa, tohmahan konon beliau terlibat dalam menyelewengkan dana serta penyalahgunaan dadah adalah melampaui batas dan tidak sewajarnya dilakukan di bulan yang mulia ini.

Katanya, semua tuduhan dilemparkan itu tidak berasas dan hanya berniat untuk mencalar imej beliau.

Laporan polis dibuat terhadap tuduhan tidak berasas

Sehubungan itu, pihaknya sudah membuat laporan polis pada Selasa lalu dan menafikan dakwaan tersebut melalui satu klip video yang tular di media sosial.

"Saya menafikan semua tuduhan yang dilemparkan itu malah saya sedia disiasat dan akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Serangan peribadi seperti ini ketika pemilihan tidak sepatutnya berlaku di dalam KEADILAN.

"Calon-calon yang bertandig sepatutnya lebih matang dengan menampilkan idea-idea bernas untuk menyelesaikan permasalahan rakyat dan parti, bukan mencari keburukan lawan untuk menang," katanya dipetik.

Tambah Mustapa, pemilihan seharusnya digunakan untuk menampilkan idea terbaik atau strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 bagi memastikan Perak kembali ke tangan Pakatan Harapan

Tegas Timbalan Presiden Otai Reformis 1998 itu, segala fitnah tidak akan melemahkan semangatnya untuk bertanding Ketua Cabang KEADILAN Tambun dan selepas ini bertanding sebagai ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN.

    0