Sep 24, 20211 min

Cabutan judi: Pemimpin Pas akui usaha PH kurangkan kekerapan 22 kali kepada 8

Pemimpin Pas yang tidak tidak putus-putus meratib keburukan melantik pemimpin DAP sebagai Menteri Kewangan sewaktu pemenerintahan Pakatan Harapan (PH), hari ini mengakui 'kebaikan' yang dibawa PH dalam isu cabutan judi.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Aziz berkata, usaha PH mengurangkan judi kepada hanya 8 cabutan (special draw) setahun adalah tindakan betul dan wajar dipuji.

Beliau membandingkan tindakan ke belakang yang dibuat kerajaan 90% Melayu Islam hari ini yang mengembalikan cabutan kepada 22 kali setahun.

"Pas telah menyatakan komitmennya yang tegas menghapuskan semua industri dosa dan aktiviti ekonomi gelap dalam negara yang dikatakan berjumlah ratusan bilion setahun. Ia nyata bukan satu jalan yang benar, bahkan mampu merosakkan ekonomi negara dan menjauhkan negara daripada memperolehi keberkatan daripada Allah.

"Justeru tindakan terdahulu Kerajaan PH yang telah mengurangkan jumlahnya sebelum ini adalah betul dan amat wajar diberi pujian dan kredit.

"Sewajarnya Kerajaan hari ini mengekalkan keputusan tersebut, malah terus menggerakkan segala usaha yang positif dan proaktif ke arah menjauhkan rakyat daripada terus bergantung dan terjebak ke dalam aktiviti buruk tersebut. Membenarkannya semula adalah satu tindakan undur ke belakang yang pastinya ditolak oleh agama dan majoriti besar rakyat," katanya dalam catatan di Facebook

Bagaimanapun, Nik Abduh tidak pula memberi amaran keras kepada kerajaan Perikatan Nasional 2.0. Sebaliknya, hanya berharap Kementerian Kewangan akan mengkaji semula keputusan cabutan judi berkenaan.

"Ia hanya memerlukan 'political will' daripada mana-mana parti politik dan kerajaan untuk bertindak membendungnya. Saya yakin pembaharuan politik negara yang kita idamkan bersama akan turut menyokong usaha membersihkan negara daripada aktiviti tidak sihat dalam semua sektor.

"Justeru saya berharap pihak Kerajaan, melalui Kementerian Kewangan dapat menilai kembali keputusan tersebut, seterusnya menarik balik kelulusannya," katanya lagi.

    0