Sep 6, 20212 min

Buka semula IPT perlu dimaklumkan satu semesta lebih awal - Mahasiswa KEADILAN

Mahasiswa KEADILAN mengkritik Pelan Pemulihan Institusi Pengajian Tinggi yang dirancang oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk kemasukan pelajar secara fizikal bagi Sesi Akademik 2021/2022 bermula Oktober tahun ini.

Menurut Naib Presiden Mahasiswa KEADILAN Malaysia, Firzan Hakimi, pelan tersebut perlu dirancang rapi sebelum dilaksanakan, bukannya dilakukan secara terburu-buru pada bulan hadapan.

"Dasar dan keputusan pelan tersebut perlu diteliti sebaik-baiknya oleh pihak kementerian kerana ia tidak hanya fokus kepada soal risiko jangkitan yang dihadapi semata-mata, malah aspek bebanan kewangan ibu bapa yang sudah pasti terkesan ekoran aktiviti ekonomi yang masih perlahan.

"Kita perlu menyedari tidak semua mahasiswa dan mahasiswi tinggal di dalam kampus, malah di sebahagian kampus kebanyakkan pelajar tinggal dengan menyewa rumah. Keputusan terburu-buru bakal mengundang masalah yang lebih besar yang akhirnya pelajar sekali lagi perlu menanggung kos yang merugikan.

"Walaupun kita akui pembelajaran atas talian tidak efektif dan membebankan pelajar kerana alatan elektronik yang terhad serta data internet yang terbatas, namun ianya tetap menjadi keperluan hakiki, biarpun kelas dijalankan secara fizikal dan hakikatnya keputusan ini tidak menyelesaikan sebarang permasalahan," katanya.

Menurut Firzan yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Damansara, perancangan membuka IPT tersebut sebaik-baiknya diumumkan satu semesta lebih awal agar persediaan boleh dijalankan dengan sempurna.

Selain itu, katanya, pihak KPT juga perlu menyediakan pelan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah yang lebih komprehensif sekiranya berlaku jangkitan Covid 19 yang tinggi pada masa hadapan.

"Perancangan bagi membuka semula IPT perlu dimaklumkan sekurang-kurangnya satu semester lebih awal sebelum dilaksanakan supaya persediaan dapat dilakukan oleh mahasiswa dan ibu bapa

"Kementerian Pengajian Tinggi juga seharusnya memberi sepenuh perhatian tentang bagaimana mahu mengemaskini sistem pembelajaran atas talian yang sedia ada bagi tempoh 6 bulan hingga 1 tahun akan datang.

"Hal ini penting supaya dapat meringankan beban pelajar, sekaligus mengurangkan tekanan mental yang dialami sebahagian besar mereka," katanya lagi.

    0