Nov 27, 20221 min

Belum masa sesuai buat tuntutan kepada PM - Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata waktu ini belum sesuai untuk Sabah membuat sebarang tuntutan sebagai sekutu di dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau dipetik berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya petang tadi.

"Ini bukan masanya (tuntutan daripada Sabah), saya ingat kita sokong dulu.

"Saya berterima kasih kerana diberi peluang bertemu dengan Perdana Menteri. Tujuan utama kita adalah untuk menyatakan sokongan daripada Kerajaan Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Beliau mengalu-alukannya dan amat menghargai sokongan yang telah kita zahirkan," katanya dipetik Sinar harian.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS memberitahu, parti gabungan itu hanya menghantar surat sokongan kepada Anwar dan tiada perbincangan melibatkan agihan jawatan Kabinet.

"Kita cuma hantar surat sokongan, tak ada bincang (jawatan Kabinet) kerana yang utama adalah memberikan sokongan kepada kepimpinan beliau," jelasnya.

Menurut Hajiji, keutamaan ketika ini adalah memastikan kerajaan yang dibentuk stabil dan melepasi Undi Percaya pada 19 Disember depan.

GRS mendapat 6 kerusi dalam Pilihan Raya Umum 19 November lalu.

    2