Apr 161 min

Bekalan ayam, telur, daging cukup, Kerajaan Perpaduan cekap

Oleh: Abdullah Zaid

AMANAH Kedah merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang berjaya mengendali dengan baik bekalan telur dan ayam serta daging sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Pengarah komunikasinya, Firdaus Shater berkata, kejayaan itu membuktikan Datuk Seri Mohamad Sabu telah berjaya mengemudi kementerian tersebut dengan cukup baik dalam menjengah tahun kedua.

"Menteri telah mengambil langkah drastik dengan mengimport telur bagi mencukupkan bekalan dalam negara di samping beberapa intervensi dan libat urus dengan pemegang taruh telah dijalankan bagi mengatasi gangguan tersebut.

"Alhamdulillah, dengan komitmen yang tinggi, bekalan ayam, telur ayam dan daging cukup sepanjang tahun 2023 dan sehingga April 2024 walaupun kerajaan telah menamatkan kawalan harga dan subsidi ayam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, apa yang lebih membanggakan adalah bekalan ketiga-tiga produk ini juga turut banyak di pasaran dan dijual pada harga yang murah walaupun pada musim Ramadan dan Syawal yang menyaksikan permintaan amat tinggi.

"Syabas dan tahniah kepada Menteri, KPKM, Kerajaan Perpaduan dan seluruh rantaian yang terlibat di atas komitmen yang tinggi dalam menyediakan sumber makanan buat rakyat pada harga yang mampu milik," ujarnya.

Untuk rekod, harga ayam pada 2021 pernah mencatat sehingga RM11 - RM12 sekilogram sebelum kembali stabil pada 2022. Manakala sepanjang musim perayaan kali ini harga ayam tidak melebihi RM10 sekilogram di Semenanjung.

    1