Dec 6, 20212 min

Barang naik: AMK serah memorandum ke KPDNHEP mahu harga segera diturunkan

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menyerahkan memorandum kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pagi tadi berhubung isu kenaikan melampau harga barang.

Menurut Setiausaha AMK Malaysia, Syukri Razab, memorandum tersebut menyenaraikan pelbagai produk pengguna yang telah meningkat harga di pasaran dan meminta Kerajaan BN campurtangan segera bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya, rakyat tidak lagi mahu mendengar kerajaan membuat kajian atau menubuhkan jawatankuasa kerana sistem penguatkuasaan serta jentera pelaksanaan telah pun sedia ada cuma ianya tidak digunakan secara berkesan.

"Ini kita mahu kerajaan campurtangan, masuk dan menyelesaikan isu menjaga kepentingan peniaga serta memastikan pengguna tidak terbeban dengan masalah dan kos yang naik

"Sebelum ini menteri menjawab dalam Parlimen, tetapi jawapannya tak menjawab, dan kita tak mahu jawapan menubuhkan jawatankuasa.

"Apa lagi jawatankuasa (perlu ditubuh) sedangkan kita ada kementerian, ada jentera kuat di pihak kementerian. Tak perlu bertangguh. Menteri pun kata melibatkan pembekal, jadi mereka telah tahu (punca masalah) dan tidak perlu bertangguh lagi

"Perkara itu semua kita muatkan dalam memorandum ini, dan kita harap ada tindakan dari pihak kerajaan," katanya dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada pegawai KPDNHEP.

Syukri turut tidak mahu kerajaan menganggap kenaikan harga barang isu kecil dan hanya melibatkan kenaikan beberapa sen sahaja.

Katanya, kenaikan kecil tetapi ke atas seluruh jenis barang akan menyebabkan kesan berantai sehingga rakyat keseluruhan akan menanggung kesengsaraan.

"Dia bukan isu kecil, membabitkan banyak perkara dari harga telur beras, sampai ke tepung, roti, sos. Walaupun naik 20 sen, ada naik 60 sen, ada naik RM3.

"Walaupun kenaikan kecil, kita tak boleh kata kecil kerana akan ada kesan berantai kepada pengguna akhir.

"Contoh keluhan peniaga kedai makan. Kenaikan sedikit harga ini menyebabkan mereka terpaksa naikkan harga di kedai. Perkara ini dihadapi peniaga dan pengguna. Kita nak salahkan mana mana pihak tak boleh.

"Oleh itu, kita mahu situasi peniaga terjaga dan rakyat terbela," katanya lagi

    1