Dec 26, 20231 min

Banjir: Amaran kuning Terengganu, Pahang dan Johor - NADMA

Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) mengeluarkan amaran kuning hujan berterusan tahap berwaspada sehingga esok.

Amaran itu melibatkan Terengganu (Dungun dan Kemaman), Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Segamat, Kota Tinggi dan Mersing).

Dalam notis dikeluarkan pada pukul 2 petang ini, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan.

Kata agensi itu dalam kenyataan, langkah itu bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.

"Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas.

"Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan," kata kenyataan itu.

NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal, kata kenyataan itu.

NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel opsroom@nadma.gov.my.

    1