Mar 1, 20211 min

Bakul makanan untuk warga Kuala Lumpur indah khabar dari rupa

Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL) mempersoalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengenai mekanisme pemberian beras dan pengagihan bakul makanan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang didapati tidak bergerak lancar.

Mereka menegaskan kelewatan agihan bantuan makanan asasi itu akan menjejaskan keadaan rakyat terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Perutusan Perdana Menteri bersempena Hari Wilayah yang berjanji untuk menyumbangkan 5,750 kampit beras secara percuma setiap minggu kepada penduduk dari kumpulan B40 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hanyalah indah khabar daripada rupa.

“Sehingga hari ini rakyat dibiarkan tertanya-tanya bagaimana beras tersebut diagihkan kepada mereka, bagaimana penduduk boleh memohon dan kepada siapa mereka boleh membuat permohonan?” soal mereka dalam satu kenyataan.

Mereka turut menanyakan sama ada ada agihan beras tersebut dilakukan oleh lantikan politik kerajaan PN sehingga menyebabkan bantuan percuma itu tidak sampai kepada penerima yang sepatutnya.

"Program Bakul Makanan berupa pemberian barang makanan keperluan bernilai RM100 bagi setiap isi rumah melibatkan peruntukan RM50 juta melalui JKM sehingga kini kelihatan tidak berjalan seperti yang dirancang.

“Walaupun sudah memasuki tiga bulan semenjak pengisytiharan darurat diumumkan, namun rakyat masih tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bakul makanan seperti yang dijanjikan oleh kerajaan PN,” kata mereka.

Oleh yang demikian mereka mendesak agar Kerajaan Perikatan Nasional segera membuka semula sidang Parlimen untuk membahaskan perkara berkenaan demi kesejahteraan hidup rakyat.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Tan Kok Wai (Cheras), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Hannah Yeoh (Segambut), Teresa Kok (Seputeh), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju), P Prabakaran (Batu), Lim Lip Eng (Kepong) dan Fong Kui Lun (Bukit Bintang).

    1