Nov 27, 20221 min

Anwar terima kunjungan perwakilan Sabah mantapkan Kerajaan Perpaduan

Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi menerima kunjungan daripada perwakilan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) di pejabat beliau di Putrajaya.

Menurut Anwar, pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana yang mesra dan dengan niat memperteguh kerajaan campuran yang dibina ketika ini.

"Menerima kunjungan hormat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan delegasi GRS di pejabat petang ini.

"Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan GRS memberi dukungan penuh kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan saya, dan saya tentunya mengalu-alukan dan menghargai dukungan tersebut demi kepentingan Kerajaan Negeri dan kesejahteraan buat rakyat Sabah," katanya.

Shafie Apdal sekutu lama kerajaan PH dan ahli politik Malaysia Timur terawal menyokong Anwar PM 10

Pada petang yang sama, beliau juga menerima kunjungan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, iaitu antara tokoh politik paling awal menyokong Kerajaan Perpaduan.

"Saya juga terima kunjungan hormat dari Presiden Parti Warisan yang juga Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal di pejabat petang ini.

"Saya mengalu-alukan komitmen beliau dan Warisan yang menyokong usaha pembentukan dan kestabilan Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat Sabah," katanya.

    1