Apr 251 min

Anwar doakan Tun Abdullah agar cepat sembuh

Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) agar segera diberikan kesembuhan.

Perdana Menteri juga berharap Abdullah diberikan kekuatan dan dipermudahkan segara urusan rawatannya.

"Mendoakan Tun Abdullah Ahmad Badawi diberikan afiyah sesegera mungkin, dikurniakan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan, Insya-Allah," kata Anwar dipetik.

Abdullah dimasukkan ke IJN semalam setelah mengalami small spontaneous pneumothorax, menurut kenyataan dikeluarkan pihak keluarganya hari ini.

Buat masa ini, keadaan beliau dilaporkan stabil dan masih dirawat di Unit Penjagaan Koronari (Coronary Care Unit), katanya.

"Alhamdulillah, beliau berada dalam keadaan baik, namun memerlukan rehat yang secukupnya.

"Pihak keluarga amat menghargai doa serta kata-kata semangat yang dititipkan.

"Tetapi, pihak IJN menasihatkan agar beliau tidak menerima pelawat buat masa ini," jelasnya.

Sementara itu, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang juga menantu Abdullah dalam kemas kini di Instagram Story turut mengesahkan perkara sama dan memaklumkan keadaan bapa mentuanya itu dalam keadaan baik ketika ini.

"Namun, (Abdullah) memerlukan rehat yang secukupnya. Saya mewakili seluruh ahli keluarga amat menghargai doa serta kata-kata semangat yang dititipkan buat beliau.

"Tetapi pihak IJN menasihatkan agar beliau tidak menerima pelawat buat masa ini," katanya.

    1