Aug 6, 20221 min

Anwar cadang tubuh jawatankuasa kaji perubahan iklim

Perubahan iklim yang melanda Malaysia secara ekstrem sejak setahun lalu menyebabkan berlaku banjir kepala air di Kedah dan banjir luar biasa di Selangor serta Pahang yang memerlukan kajian mendalam mengenai kesiapsiagaan agensi kerajaan menghadapi bencana juga perancangan baharu berkenaan keselamatan penempatan penduduk.

Sehubungan itu, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutus surat kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun agar ditubuhkan satu jawatankuasa perubahan iklim di peringkat Parlimen.

"Semalam saya telah mengutuskan sepucuk surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat terkait cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Perubahan Iklim dan Biodiversiti.

"Saya amat berharap ia diberi perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya agar kita dapat bersama merangka satu kebijakan yang tuntas dalam mendepani kemelut perubahan iklim," katanya.

Dalam surat berkenaan Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berharap satu bentuk pengurusan atau prosedur baharu menangani bencana disyorkan kerana skala bencana yang berlaku kini belum pernah dialami sebelumnya.

    1