Apr 28, 20202 min

Analisis penerima bantuan Covid-19 Parlimen Wangsa Maju

Siapakah orang yang telah memohon Bantuan Makanan?
 

 
Kami telah mengedarkan bahan makanan kepada 1400 keluarga di Wangsa Maju sejak April. Kami telah menganalisis data penerima Bantuan Makanan ini dan saya ingin kongsikan dengan anda beberapa maklumat yang ditemui.

Bangsa
 

 
Majoriti 1400 penerima terdiri daripada bangsa Melayu dengan 967 (69%), yang diketahui bahawa majoriti penduduk Wangsa Maju adalah berbangsa Melayu. Sebanyak 240 (17%) penerima berbangsa Cina dan 186 (13%) adalah India.
 

 
Umur
 

 
Kumpulan umur penerima terbesar adalah berumur di antara 31 hingga 55 tahun (57%) iaitu merupakan golongan pekerja biasa yang menjadi 'tulang belakang' penyumbang keluarga. Walaubagaimanapun, pesara dan mereka yang masih memerlukan berkerja walaupun melebihi 56 tahun untuk meneruskan hidup dan merupakan peratusan yang agak besar iaitu sebanyak 33% daripada penerima kami. Orang muda di bawah 30 tahun paling sedikit, hanya 10%.
 

 
Saiz keluarga, kanak-kanak
 

 
Seperti kebanyakan penduduk bandar, keluarga yang mempunyai bilangan 5 ahli keluarga dan ke bawah adalah sebanyak 73% dan 27% lagi mempunyai bilangan ahli keluarga yang melebihi 5 orang.
 

 
Dan apa yang lebih membimbangkan adalah sebanyak 41% daripada keluarga penerima ini masih mempunyai anak kecil di bawah usia 5 tahun.
 

 
Pekerjaan, Pendapatan
 

 
Sebahagian besar penerima terdiri daripada penjaja yang bekerja sendiri dan peniaga kecil, tukang cuci, pemandu teksi/Grabs, pembantu jualan dan ejen pemasaran, 'despatch', tukang masak, pemandu, kerani, juruteknik, guru dan pekerjaan lain.
 

 
Pendapatan bulanan mereka pada umumnya adalah rendah walaupun sebelum penguatkuasaan PKP. 33% adalah mereka yang berpendapatan hanya di antara RM1000 hingga RM2000; 30% berpendapatan kurang daripada RM1000! Hanya 13% berpendapatan melebihi RM2000.
 
Baki 20% lagi tidak mempunyai pendapatan (pesara, tidak bekerja atau suri rumah).
 

 
Kesan PKP ke atas pendapatan
 

 
Ketika memohon bantuan makanan, 74% mendakwa mereka tidak mempunyai pendapatan sama sekali! Mereka adalah penganggur, pesara, suri rumah atau orang yang telah kehilangan pendapatan kerana PKP. Hanya 24% penerima mempunyai pendapatan.
 

 
Walaupun ramai yang mengadu kehilangan pendapatan atau pendapatan dikurangkan dalam tempoh ini, penjaja mengalami kerugian terbesar. Daripada sejumlah 228 penjaja/peniaga kecil, 97 daripadanya menjawab soalan yang dikemukakan dan 84% mendakwa mereka tidak mempunyai sebarang pendapatan sejak penguatkuasaan PKP. Hanya 6% menyatakan mereka tidak kehilangan pendapatan.
 

 
Antara golongan bekerja makan gaji yang masih dapat mengekalkan pekerjaan mereka , ramai gaji mereka telah di potong , atau diminta ambil cuti tanpa gaji.
 

 
Kesimpulan
 

 
Daripada analisis, jelas bahawa kebanyakan penerima sudah berada dalam kemiskinan, pandemik dan PKP hanya memperburuk keadaan. Dengan pendapatan yang rendah tidak membolehkan mereka menyimpan . Ini menjadi sebabnya pada minggu pertama penguatkuasaan PKP, ramai di antara mereka telah tidak mempunyai bekalan makanan.
 

 
Penerima Bantuan Makanan di Wangsa Maju mungkin boleh mewakili gambaran keseluruhan golongan miskin bandar di ibu kota. Masalah kemiskinan di bandar telah dibangkitkan sejak 20 tahun lalu , namun penekanan terus diberikan kepada golongan miskin di luar bandar. Hanya dua tahun lalu kemiskinan bandar diakui. Namun kita masih belum melihat rancangan konkrit dan dana besar yang diperuntukan untuk menghapuskan kemiskinan bandar ini.
 

 
Saya berharap pandemik Covid-19 ini akan membawa kesedaran kepada kerajaan bagi mendesak dan pentingnya untuk menangani isu kemiskinan bandar.
 

 
DATIN PADUKA DR TAN YEE KEW
 
Ahli Parlimen Wangsa Maju

    0