Dec 1, 20221 min

Anak muda Selangor tidak terpengaruh politik fitnah, adu domba kaum

Politik fitnah dan adu domba perkauman yang menjadi resepi kemenangan PN di negeri Utara dan Timur Semenanjung tidak memberi kesan besar kepada anak muda di Selangor.

Hal itu ditegaskan oleh Ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor, Izuan Kasim.

Beliau mengulas, kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Selangor, Mohamed Sukri Omar bahawa Selangor bukan kubu Pakatan Harapan yang mungkin membayangkan persiapan untuk membawa masuk kaedah berkempen di negeri lain pada Pilihan Raya Negeri yang akan dihadapi kurang 6 bulan daripada sekarang.

"AMK Selangor mengingatkan bahawa anak muda Selangor tidak akan mudah terpengaruh dengan permainan politik perkauman dan fitnah yang jelas telah dijadikan alat bagi mencapai matlamat serta keuntungan politik, seperti yang berlaku dalam PRU-15 yang lepas.

"Politik bersifat dogmatik sempit ini juga jelas bakal mengundang risiko berlakunya polarasi kaum dan mengancam perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

"(Di Selangor) pertembungan politik yang menjadikan isu kaum sebagai alat wajar ditolak kerana ia bertentangan dengan prinsip akhlak, nilai-nilai murni serta dasar-dasar utama dalam negara ini," katanya.

Selain itu, Izuan juga mengingatkan anak muda Selangor agar mempertahankan gaya politik bersatu padu berbilang kaum yang dilaksanakan oleh PH sejak 15 tahun lalu dikekalkan demi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat berkekalan.

"Sehubungan itu, seluruh rakyat negeri Selangor khususnya anak muda diseru bersama-sama berganding bahu untuk mengekalkan dan memperkukuh iltizam politik, ekonomi, keteraturan masyarakat dan juga pembangunan kebajikan di negeri ini.

"Dalam hal ini, AMK Selangor akan terus komited membantu pimpinan PH Selangor untuk kekal mempertahankan negeri demi kesejahteraan rakyat pada masa kini dan masa hadapan," kataya lagi.

    2