Oct 21, 20211 min

AMK Sabah tolak empat ADUN lompat

Ketua Penerangan AMK Sabah, Razeef Rakimin tampil menegaskan bahawa pihaknya tidak akan sekali-kali menerima empat ADUN yang telah keluar parti dan menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Melaka.

Beliau berkata, perkara itu memberi kesan kepada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) walaupun ADUN yang lompat tersebut adalah ADUN Umno dan Bersatu.

“Bagi Angkatan Muda KEADILAN, tindakan ini jelas bertentangan dengan prinsip perjuangan KEADILAN serta menghina pejuang parti.

"Oleh itu, akar umbi menolak sebarang usaha sama ada menerima permohonan mereka menyertai KEADILAN atau menjemput mereka menyertai KEADILAN,” katanya.

Malah, Razeef berkata, akar umbi juga menolak sekiranya empat ADUN itu diangkat sebagai calon PH.

“KEADILAN sepatutnya menjauhkan diri dari kelompok mereka yang mempunyai agenda politik peribadi tanpa mengambil peduli situasi semasa apatah lagi negara sedang berusaha keluar dari pandemik Covid-19.

“Jika pemimpin-pemimpin KEADILAN masih mengagungkan keempat-empat pengkhianat ini, kita tidak menolak kemungkinan penolakan rakyat terhadap KEADILAN dan PH kerana jelas telah menghina prinsip yang diperjuangkan," katanya.

    1