Jul 25, 20212 min

AMK gesa kerajaan PN lakukan lebih banyak bela nasib doktor kontrak

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikan lebih pembelaan kepada para doktor kontrak yang berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain menawarkan lanjutan kontrak kerja selama 2 tahun sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri Mahiaddin Yassin kelmarin.

Menurut Setiausaha AMK Malaysia, Syukri Razab, hal berkenaan dibicangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Malaysia (MPAMK) yang mengadakan mesyuarat bulanan, dipengerusikan oleh Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir petang tadi.

"AMK menuntut agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dan KKM memberikan perhatian serius kepada isu doktor kontrak yang kebanyakannya melibatkan kumpulan anak muda.

"Tuntutan mereka sebagai ‘fontliners’ yang telah banyak menghabiskan masa dan tenaga sejak setahun lalu bagi menangani pandemik Covid-19 tidak wajar dipandang enteng kerana ianya boleh menjejaskan sektor kesihatan negara di masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Syukri lagi, AMK juga memandang serius isu anak muda melibatkan sebuah syarikat penghantaran makanan yang mengenakan cas perkhidmatan yang tinggi sehingga menjejaskan pendapatan para peniaga.

"AMK mahu syarikat-syarikat ini berlaku lebih adil dengan meneliti kembali polisi dan cas perkhidmatan mereka bagi membantu kumpulan peniaga dan juga kumpulan ‘riders’ yang sedang cuba untuk ‘survive’ ketika pandemik Covid-19 ini.

"Justeru AMK Malaysia akan menggerakkan kempen #AMKSupportLokal di seluruh negara bagi membantu golongan-golongan peniaga anak muda khususnya mempromosikan perniagaan mereka di samping dapat menambah pendapatan.

"Pada masa yang sama, AMK Malaysia berpendapat bantuan-bantuan kewangan yang diumumkan dalam pakej Pemulih perlu disegerakan bagi meredakan kesusahan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian," katanya.

Dalam pada itu, AMK turut mendoakan agar saudara Shazni Munir, Ketua Pemuda Pakatan Harapan dan Pemuda Amanah yang kini berada dalam keadaan kritikal diberikan kesembuhan dengan segera daripada wabak Covid-19

Tambah Syukri, MPAMK juga membincangkan keadaan semasa Covid-19, sidang Parlimen khas yang akan bermula esok, soal pengurusan organisasi AMK dan juga isu-isu ekonomi anak muda.

    0