Nov 8, 20231 min

Ahli Parlimen Gua Musang umum sokong PM Anwar

Ahli Parlimen Gua Musang pada malam tadi mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Datuk Mohd Azizi Abu Naim dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat demi memastikan Parlimen Gua Musang bergerak seiring dengan pemerintahan kerajaan pusat.

"Setelah meneliti dan mendengar pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dengan matlamat utama untuk memangkinkan pemulihan ekonomi di samping meringankan beban kewangan rakyat, saya selaku Ahli Parlimen Gua Musang mengisytiharkan untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar.

"Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif Kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga pilihan raya umum akan datang," katanya.

Mohd Azizi merupakan Ahli Parlimen ke-3 dari Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengambil tindakan sama.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis sebanyak 163 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah yang mendapat 21,663 undi.

    0