Jun 19, 20211 min

ADUN Hulu Kinta hantar Kamus Dewan kepada Takiyuddin

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad membuat keputusan untuk menghadiahkan sebuah Kamus Dewan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berbuat demikian dengan meminta Takiyuddin mencari maksud perkataan segera.

Ini kerana, beliau menganggap kenyataan Takiyuddin yang menyebut bahawa titah Yang di-Pertuan Agong yang meminta agar persidangan Parlimen diadakan segera tidak menetapkan tempoh tertentu dilihat sebagai angkuh.

"Oleh kerana itu, saya nak menghadiahkan kamus untuk menteri undang-undang, saudara Takiyuddin sekiranya tak faham bahasa dan maksud segera serta maksud secepat mungkin.

"Disebabkan tidak boleh merentas negeri, saya akan menghantar kamus ini melalui kurier ke pejabat beliau," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

Bungkusan Kamus Dewan tersebut dihantar melalui perkhidmatan sebuah syarikat kurier pada hari ini atas nama Pusat Khidmat Rakyat ADUN Hulu Kinta.

    0