Dec 19, 20231 min

ADUN Batu Uban beri sumbangan baiki tembok kuil

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Uban, Kumaresan Aramugam (gambar, tiga dari kiri) baru baru ini menyambaikan sumbangan membaiki tembok Kuil Sri Krishna Bagawan Alayam di Taman Pekaka Sungai Dua yang runtuh sebelum ini.

Menurut Kumaresan, kuil tersebut merupakan rumah ibadat Hindu yang terbesar di Kadun Batu Uban dan ramai penganut Hindu yang berkunjung ke kuil tersebut termasuk pelajar-pelajar India daripada Universiti Sains Malaysia.

"Bulan lepas ketika hujan lebat melanda Pulau Pinang tembok kuil ini telah runtuh.

"Setelah mendapat maklumat saya segera menghantar pegawai untuk meninjau keadaan tersebut. Pihak kuil memaklumkan kepada saya kos pembaikan tembok ini hampir RM100,000 kerana mereka perlu meroboh separuh tembok yang sedia ada dan membina semula tembok yang baru.

"Justeru sebagai ADUN kawasan, saya telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM15,000 bagi membantu meringankan bebanan pihak pengurusan kuil," katanya.

Selain itu, beliau juga telah membantu pihak kuil membuat permohonan dana Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mencukupkan keseluruhan kos pembaikan.

Dalam pada itu, Kumaresan juga menyeru penganut Hindu yang ingin menyumbangkan dana agar menghubungi terus pihak pengurusan kuil.

    1