Feb 24, 20211 min

ADN Batu Tiga edar Chrome Book untuk program PdPR

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail mengedarkan 50 buah Chrome Book bagi program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Katanya, penggunaan peranti jenis tersebut lebih sesuai dengan permulaan pembelajaran kanak-kanak berbanding peranti tab yang lebih rumit.

"Sebanyak 50 chrome book akan diedarkan. Kenapa kami memilih chrome book, tidak tab kerana kami rasa ia lebih sesuai untuk anak-anak yang baru berjinak dengan komputer, skrin lebih besar dan pengendalian lebih mudah.

"Pemantauan di pihak ibu bapa lebih membantu. Satu lagi tentang harga chrome book, kita dapat subsidi dari pihak yang menjualnya," katanya dalam sidang media dalam program Back to School semalam.

Dalam program kembali ke sekolah itu, Pusat Khidmat Batu Tiga telah memproses ratusan permohonan dan meluluskan sebanyak 514 permohonan.

"Permohonan ini kita ada empat kategori. Ada anak seorang, dua, tiga dan empat. Jadi bila kita kategorikan, kita beri bantuan wang tunai yang berbeza. Anak satu dapat alat tulis dan tunai RM50, anak dua RM100 dan seterusnya.

"Menimbangkan bantuan lebih 500 pemohon ini kita bekerjasama dengan pihak Pekawanis, MBI dan beberapa orang perseorangan yang telah kita kumpulkan kewangan

"Jumlah kewangan hampir RM60,000 untuk kita berjaya beri kepada 514 kanak-kanak dari 250 keluarga," katanya lagi.

    0