May 22, 20221 min

8 cabang akan adakan pemilihan semula - Dr Zaliha

Sebanyak 8 cabang akan laksana pengundian semula dalam Pemilihan KEADILAN 2022.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa, pengundian semula secara fizikal perlu disempurnakan sebelum keputusan boleh diumumkan.

"Lima cabang di Kelantan termasuk Ketereh, Bachok dan Tumpat serta Dungun di Terengganu perlu menjalani pemilihan semula ekoran masalah teknikal," katanya dipetik Malaysiakini.

Menurut Dr Zaliha lagi, masalah teknikal itu berlaku di Kelantan dan Terengganu pada hari pertama pemilihan di peringkat cabang berkenaan.

Manakala di Kedah, katanya, JPP akan mengadakan pemilihan semula di cabang Padang Serai kerana berlaku rasa tidak puas hati dalam kalangan calon yang bertanding.

Bagaimanapun mengenai insiden semalam di cabang Hulu Selangor, Dr Zaliha menafikan berlakunya sabotaj sebagaimana dakwaan sesetengah pihak apabila dewan yang dijadikan pusat mengundi tidak menyediakan kerusi atau meja sehingga proses pengundian terpaksa dibatalkan.

Biar pun meja tiba pada pukul 9.00 namun JPP memutuskan untuk membatalkan proses pengundian semalam.

Dr Zaliha berkata, proses pengundian semula belum ditetapkan tarikhnya tetapi sebaik baiknya dilakukan pada hari sama di semua 8 cabang berkenaan.

    0