Dec 17, 20231 min

228 PeBS bakal dilantik untuk gerak program belia Selangor

Seramai 228 Penggerak Belia Selangor (PeBS) baharu bakal dilantik Kerajaan Negeri itu bagi menggerakkan polisi dan program untuk belia tahun hadapan.

Mohd Najwan Halimi yang merupakan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri berkata, kesemua mereka akan memain peranan sebagai penghubung membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat sekali gus mencorak masa depan Selangor yang lebih gemilang.

Langkah itu jelasnya sebagai membuktikan kepercayaan pentadbiran negeri kepada golongan belia untuk bersama-sama menentukan hala tuju negeri itu.

"Tahun depan kita juga akan selaraskan program PeBS dengan dasar belia Selangor dan konsep Rakan Muda.

"Kita juga akan memperbanyakkan program-program literasi politik seperti pemahaman demokrasi dan kenegaraan dalam memupuk semangat nasionalisme dan patriotisme.

"Selain itu, kita juga mahu belia di negeri ini terlibat dengan program kemasyarakatan yang menjurus kepada semangat perpaduan dan muhibah," katanya dipetik.

Mohd Najwan yang juga ADUN Kota Anggerik sebelumnya ditemui pada program sumbangan 220 kilogram baja organik oleh Hotel Concorde Shah Alam di Taman Botani Negara Shah Alam pada Sabtu.

PeBS diperkenal pada 2009 sebagai Penggerak Belia Tempatan (PeBT) sebelum dijenamakan dan disusun semula pada 2021

Pemimpin belia setempat itu memainkan peranan kepada agenda pembangunan generasi muda di setiap Dewan Undangan Negeri.

    1