Sep 18, 20213 min

10 Soalan Terkait MoU Kerajaan PN - PH

Oleh: Hassan Abdul Karim

Soalan 1 : Adakah Pakatan Harapan (PH) telah menyerah kalah kepada kerajaan Ismail Sabri Yaakob apabila menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Kerajaan?

Jawapan : Tidak. PH tidak menyerah kalah. PH tetap memainkan peranannya sebagai pembangkang yang bertanggungjawab di dalam Parlimen dan di luar Parlimen.

Soalan 2 : Benarkah PH tidak lagi memainkan peranan sebagai pemantau kepada Kerajaan dalam melakukan semak dan imbang?

Jawapan : Tidak benar anggapan itu. Malah di dalam Memorandum Persefahaman itu disebut secara bertulis tugas dan peranan PH sebagai Pembangkang untuk melaksanakan tugas semak dan imbang.

Soalan 3: Tidakkah dengan menandatangani Memorandum Persefahaman tersebut PH telah dianggap mengiktiraf Kerajaan Ismail Sabri Yaakob?

Jawapan : Isu mengiktiraf Kerajaan sekarang tidak berbangkit. Ismail Sabri Yaakob telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong secara sah. Jemaah Menterinya juga telah dibentuk secara sah. Kerajaannya sah dari segi undang-undang dan Perlembagaan.

Soalan 4: Adakah PH tidak berminat lagi untuk membawa usul Undi Percaya atau Undi Tak Percaya terhadap Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat?

Jawapan : PH tidak berhasrat untuk membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri. Kerajaan yang patut membawa usul percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 17 Ogos 2021 di Istana Negara di hadapan ketua-ketua semua parti politik.

Soalan 5 : Adakah benar tujuan Perdana Menteri Ismail Sabri menandatangani Memorandum Persefahaman ini untuk mempastikan Kerajaan pimpinanya tidak tumbang di Parlimen?

Jawapan : Saya percaya itu adalah satu daripada banyak sebab.

Soalan 6 : Kenapa PH tidak berusaha lagi untuk mendapatkan semula mandat rakyat untuk menjadi kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15?

Jawapan : PRU ke-15, tidak lama lagi. Ada baiknya masa sekarang kedua-dua pihak, parti pembangkang dan parti kerajaan tumpukan kepada dua perkara utama, iaitu melawan wabak Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi.

Soalan 7 : Apa kesan penting dari Memorandum Persefahaman yang ditandatangani itu dari segi ketenteraman dan kestabilan politik?

Jawapan : Dipersetujui di dalam Memorandum Persefahaman tersebut bahawa PRU-15 tidak akan diadakan sebelum 31 Julai 2022. Ini membawa makna terdapat keadaan yang pasti dan tempoh bertenang. Di pihak kerajaan boleh tumpukan kerja-kerja mentadbir negara untuk melawan pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

Soalan 8 : Apa pentingnya tempoh 31 Julai 2022 itu kepada PH?

Jawapan : Dalam tempoh 10 bulan itu, adalah masa yang cukup untuk Kerajaan melaksanakan kebanyakan terma-terma yang telah dipersetujui di dalam Memorandum tersebut. PH akan turut memantau perlaksanaan MoU tersebut. Kejujuran dan kesungguhkan Kerajaan akan dapat diukur dan dilihat dalam tempoh tersebut.

Soalan 9 : Adakah tempoh terakhir persefahaman itu pada 31 Julai 2022?

Jawapan : Tempoh itu untuk mewujudkan satu tempoh yang memberi kepastian bahawa tidak ada PRU diisytiharkan dengan mengejut. Parlimen tidak dibubarkan oleh Perdana Menteri sesuka hatinya sebelum 31 Julai 2022.

Soalan 10 : Apa pendirian PH jika Perdana Menteri Ismail Sabri berhasrat kerajaannya terus mentadbir sehingga tempoh penuh Parlimen Ke-14 ini hingga tahun 2023?

Jawapan : Hak kuasa prerogative Perdana Menteri untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen dan mengadakan PRU tertakluk kepada persetujuan Yang di-Pertuan Agong seperti kehendak Perlembagaan Persekutuan tidak akan diganggu oleh PH. PH hanya mahukan kepastian seperti yang telah dipersetujui di dalam Memorandum Persefahaman bahawa PRU-15 hendaklah diadakan selepas 31 Julai 2022. Jika Perdana Menteri Ismail Sabri mahu mengadakan PRU-15 pada tahun 2023 misalnya, PH tidak ada halangan. Tidak ada bantahan.

(Nota: Tulisan ini adalah pendapat peribadi saya, sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Pakatan Harapan. Segala kelemahan, kekurangan, kurang tepat mahupun kesilapan adalah tanggungjawab saya sendiri)

    0